Wednesday, 18 December 2013

Fire News: Air sungai melebihi paras bahaya


BANDAR BERA - Jumlah mangsa banjir di daerah ini yang dipindahkan sejak Khamis lalu meningkat sehingga 375 orang sehingga jam 5 petang semalam, apabila terdapat beberapa kawasan terus dinaiki air.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Datuk A Rahman Hamzah berkata, jumlah itu termasuk mereka yang dipindah ke pusat pemindahan sementara iaitu di Kampung Imam Sulong, Kuala Bera dan Batu Bor.

Menurutnya, walaupun keadaan cuaca semakin pulih, namun keadaan Sungai Pahang dan Sungai Triang yang masih melebihi pada paras amaran manakala Sungai Bera melebih paras bahaya  menyebabkan banjir di kawasan terbabit tidak surut.

“Bagaimanapun, kita sudah mengagihkan bantuan bekalan makanan seperti beras, minyak masak, gula dan sardin kepada mangsa banjir termasuk mereka yang terputus hubungan.

“Dan sekarang, kita juga sudah bersedia dengan bekalan makanan tambahan sekiranya keadaan ini berlarutan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sepanjang pemantauan pihaknya ke kawasan terlibat banjir mendapati semua mangsa banjir dan penduduk menerima bekalan secukupnya, malah pihaknya tidak menerima sebarang aduan kekurangan makanan di daerah ini.

“Walaupun kita ada bekalkan sardin sebagai menu utama pada musim banjir ini, namun mangsa banjir di semua pusat pemindahan sentiasa mengubah menu apabila masing masing menggunakan kemahiran menjaring ikan di kawasan berdekatan.

“Jika dibandingkan dengan keadaan di Kuantan, keadaan di daerah ini jauh lebih baik, malah setiap hari semua anggota penyelamat dan petugas banjir akan masuk ke pusat pemindahan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan mangsa banjir,” katanya.

Beliau memberitahu, tindakan pantas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu menyelamatkan mangsa banjir samaada menyelamatkan mereka ke pusat pemindahan atau memindahkan barang ke kawasan tinggi serta menghantar bantuan bekalan makanan sememangnya wajar dipuji.

0 comments:

Post a Comment