Tuesday, 17 December 2013

Fire Information : MERS 999 dicabar 2.8 juta panggilan sebulan

SEBUT sahaja talian 999, pasti timbul pelbagai tanggapan terhadap nombor berkenaan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepentingan orang ramai. Ada yang menganggap peranan 999 itu amat penting dalam membantu seseorang jika melibatkan sesuatu kecemasan atau pertolongan.

Banyak juga pihak yang mempersoalkan keberkesanan tindakan dari 999, ada pula tidak mahu mengambil tahu langsung betapa pentingnya peranan 999 dan banyak lagi tanggapan lain yang bermain di fikiran orang ramai mengenai talian kecemasan ini.

Mana silapnya? Namun semua tanggapan itu sehingga kini masih menjadi cabaran kepada Malaysian Emergency Response Services (MERS 999) iaitu satu unit yang berperanan membantu orang ramai bagi menangani situasi kecemasan.

Namun, di negara-negara maju, peranan organisasi seperti MERS 999 itu diakui amat penting. Tidak kiralah sama ada ia melibatkan kes jenayah, kebakaran, kemalangan, orang hilang di lautan, penculikan dan banyak lagi.

Keperluan mendapatkan bantuan dari talian 999 itu juga tidak terkecuali bagi mangsa-mangsa banjir yang kini sedang melanda negeri-negeri di Pantai Timur.

Sehubungan itu, adalah penting kita sebagai pengguna memahami setiap peranan serta tugas MERS 999 ini kerana ia satu perkhidmatan percuma yang memberikan bantuan serta pertolongan tanpa mengira jarak, tempat, keadaan atau situasi dan masa.

Malah, kita seharusnya tahu betapa pentingnya perkhidmatan 999 diguna sepenuhnya bagi menyelesaikan masalah berkaitan kecemasan selain mendapat tindak balas yang pantas.

Utusan Malaysia baru-baru ini berkesempatan meninjau peranan MERS 999 melibatkan tugasannya dan cara-cara unit itu bertindak dalam membantu orang ramai.

Pengarah Projek MERS 999, Ir. Rozinah Anas memberitahu, setiap panggilan kecemasan yang diterima akan dijawab dengan pantas dalam masa kurang dari 20 saat.

Menurutnya, MERS 999 akan menyalurkan maklumat yang diperolehi itu terus kepada lima agensi terbabit iaitu hospital, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awan dan Maritim Malaysia.

Jelasnya, maklumat-maklumat tersebut disalurkan secara automatik ketika petugas 999 sedang bercakap dengan pemanggil terbabit.

"Ini menunjukkan betapa pantasnya maklumat diterima oleh MERS 999 serta disalurkan terus ke sistem lima agensi berkenaan (hospital, polis, bomba, pertahanan awam dan Maritim Malaysia)," katanya.

Selain itu, jika ada kawasan kecemasan tidak terdapat sistem talian dalam perkhidmatan terus melibatkan lima agensi berkenaan, maklumat itu tetap akan disalurkan ke agensi paling berdekatan dengan tempat kejadian.

Malah, dalam keadaan tertentu, petugas MERS 999 akan terus menghubungi agensi terbabit bagi memaklumkan kecemasan yang berlaku, contohnya dengan menelefon balai polis tertentu yang terdapat di pedalaman disebabkan ia tiada akses komputer atau sistem dalam talian.

Rozinah berkata, pemanggil juga tidak tahu panggilan yang dibuat itu sama ada dijawab oleh MERS yang berpejabat sama ada di Kuala Lumpur, Melaka atau Kuching, Sarawak.

"Yang pasti, setiap panggilan dijawab dengan pantas walaupun jaraknya jauh. Mungkin ada orang itu menelefon dari Sabah, tetapi panggilannya dijawab oleh petugas di Melaka.

"Panggilan yang dibuat akan masuk talian 999 secara automatik dengan pantas. Jika panggilan di Kuala Lumpur sibuk, ia secara terus dan automatik dijawab oleh MERS sama ada di Kuching atau Melaka," katanya.

Di samping itu katanya, ada sesetengah kes, petugas MERS terpaksa melakukan sedikit pertanyaan bagi memastikan bantuan yang hendak disalurkan adalah tepat.

Dalam perkara ini, menjadi tanggungjawab agensi terbabit untuk bertindak daripada maklumat yang diperolehi daripada MERS.

Satu perkara lagi yang menarik, apabila seseorang itu membuat panggilan kepada 999, penggendali MERS dapat mengetahui kedudukan pemanggil berkenaan dalam kedudukan lokasi 200 meter persegi. Maklumat lokasi pemanggil itu juga akan terpapar pada skrin di pejabat MERS.

"Namun, MERS sekarang dalam proses meningkatkan kemampuannya dan dijangkakan akhir Disember tahun ini, kedudukan seseorang pemanggil kecemasan itu hanya pada kedudukan 50 meter sahaja. Dengan kata lain, lokasi pemanggil akan diketahui dengan lebih tepat dan terperinci," jelasnya.

Rozinah juga memberitahu, MERS juga akan dapat mengetahui nombor telefon pemanggil berkenaan manakala yang menggunakan telefon bimbit, nama mereka juga diketahui.

Menjawab pertanyaan, beliau memberitahu, setiap seorang petugas MERS 999 akan menjawab atau menerima panggilan kecemasan kira-kira 1,500 panggilan sepanjang lapan jam kakitangan itu bertugas.

Dari statistik panggilan diterima MERS 999, pada tahun 2013 purata panggilan kecemasan yang diterima ialah kira-kira 1.2 juta panggilan sebulan dan jumlah itu semakin meningkat pada tahun ini iaitu melebihi 2.8 juta panggilan sebulan.

Namun yang turut menjadi cabaran MERS 999 ialah 'panggilan senyap'. Menjelaskan lebih lanjut, Rozinah memberitahu, dari 2.8 juta panggilan sebulan yang diterima pada tahun 2013, sebanyak 72 peratus adalah 'panggilan senyap'.

"Panggilan senyap itu apabila petugas MERS menjawab, namun pemanggil hanya mendiamkan diri," katanya.

Menurutnya, antara faktor berlakunya panggilan senyap tadi, seseorang itu secara tidak sengaja tertekan butang telefon bimbit mereka melibatkan talian 999.

"Keadaan ini berlaku tanpa disedari dan orang ramai perlulah lebih berhati-hati," katanya.

Berikutan panggilan senyap itu, penggendali MERS akan membuat tindakan susulan termasuk memaklumkan secara automatik kepada pihak berkuasa terutama polis kerana dikhuatiri ada pemanggil yang tidak dapat menyalurkan maklumat disebabkan situasi tertentu.

"Setiap panggilan walaupun melibatkan panggilan senyap, kita akan bertindak dengan menyalurkan maklumat diterima seperti nombor telefon dan lokasi kepada pihak polis," katanya.

Jelasnya, MERS 999 juga akan menyalurkan maklumat pemanggil terbabit kepada polis apabila menerima panggilan palsu atau 'main-main' untuk tindakan undang-undang.

Mengenai bentuk panggilan, beliau berkata, orang ramai seharusnya menggunakan perkhidmatan MERS dalam apa jua keadaan kecemasan termasuk ketika berada di kawasan hutan, laut dan sebagainya.

"Selagi ada talian untuk membuat panggilan ke 999, kita dapat tahu lokasi anda dan maklumat serta bantuan dapat disalurkan terus ke agensi terbabit," katanya.

Satu lagi perkembangan terkini mengenai MERS 999 ialah bagi golongan orang kurang upaya (OKU), mereka kini sudah boleh menyalurkan maklumat untuk meminta bantuan dengan menghantar khidmat pesanan ringkas dengan menaip SaveME 999.

Untuk itu, pengguna OKU terbabit hanya perlu mendaftar melalui www.999.gov.my. atau memuat turun aplikasi SaveMe999 dari telefon pintar masing-masing.

"MERS sekarang mempunyai senarai OKU yang berdaftar dengan MERS 999 dan hanya golongan OKU sahaja dibenarkan menggunakan perkhidmatan ini,'' katanya.

Di samping itu, musim tengkujuh adalah waktu yang boleh dikategorikan sebagai masa paling kritikal bagi semua agensi di bawah MERS999.

Kejadian banjir boleh mengancam nyawa, semua pihak perlu berhati-hati kerana ia juga boleh menyukarkan usaha menyelamat akibat terputusnya hubungan darat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131216/re_05/MERS-999-dicabar-28-juta-panggilan-sebulan#ixzz2nmSRqLA9
© Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment