Tuesday, 17 December 2013

Fire Information : Balai bomba musnah, kenderaan tenggelam


CHUKAI - Bencana banjir yang melanda Kemaman minggu lalu bukan sahaja memberi cabaran getir kepada pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Chukai dalam tugas menyelamat, bahkan terpaksa juga menahan pilu apabila balai mereka musnah dengan kira-kira 11 kenderaan anggota ditenggelami air.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mat Zakri Che Long berkata, dia terkejut melihat balai mereka dinaiki air sedalam 1.5 meter selepas pulang dari tugas menyelamat dan memindahkan mangsa banjir pada jam 10 malam, 3 Disember lalu.

“Beberapa jam sebelum itu, saya bersama rakan setugas lain lakukan kerja memindahkan mangsa banjir di Kampung Tanjung, Bukit Mentok kerana air naik di situ pada jam 3 petang, namun apabila pulang semula, balai dah tenggelam.

“Hampir menitis air mata kami sebab terlalu sebak lihat semua kenderaan anggota yang bertugas yang diletakkan dalam kawasan balai tenggelam,” katanya kepada Sinar Harian.

Meskipun sedih melihat keadaan itu, Mat Zakri bersama pegawai dan anggota lain tetap cekalkan hati meneruskan tugas menyelamat dan memindahkan mangsa banjir walaupun dalam keadaan sistem talian telefon di balai rosak.

Katanya, talian telefon bilik operasi yang rosak memaksa pegawai dan anggota menggunakan telefon bimbit masing-masing untuk berkomunikasi ketika bertugas.

“Dalam keadaan banjir besar, tugas menyelamat juga sangat mencabar. Paling saya tidak dapat lupakan ketika memindahkan seorang warga emas yang diserang strok di rumahnya di Kampung Paya Berenjut.

“Mangsa waktu itu memakai lampai pakai buang, jadi saya dan seorang lagi anggota mengangkat dan mengusungnya secara berhati-hati sejauh 30 meter dari rumahnya ke bot penyelamat, kami terpaksa meredah air sedalam 1.5 meter. Satu kerja yang sukar juga ketika mahu meletakkan mangsa ke dalam bot,” katanya.

Seorang lagi Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Yusof Muda berkata, kerja memindahkan seorang mangsa banjir di Kampung Seberang Tayor, Air Putih yang mengalami obesiti dengan berat badan lebih 100 kilogram merupakan pengalaman paling getir buatnya.

Katanya, dia bersama anggota setugas terpaksa mengusung mangsa keluar dari rumah sejauh kira-kira 300 meter sebelum diletakkan dalam perahu.

“Hanya mangsa sahaja muat dalam perahu itu sebab saiz perahu kecil, jadi kami terpaksa tolak perahu sejauh beberapa kilometer sebelum dia dipindahkan ke dalam lori untuk dihantar ke pusat pemindahan,” katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM6,000 kerana rumahnya di Taman Banggol Indah turut ditenggelami banjir.

0 comments:

Post a Comment