Monday, 2 December 2013

Fire Information: 10 telaga RM1 juta dibina cegah kebakaran kawasan pertanian

PAGOH 2 Dis. - Sebanyak 10 telaga air bawah tanah sudah dibina di kawasan luar bandar di negeri ini dengan kos lebih RM1 juta sejak empat tahun lalu sebagai persediaan mencegah kebakaran di kawasan pertanian selain untuk kegunaan harian.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Yunus Abd. Razak berkata, telaga tersebut terdapat di kampung yang terletak di pedalaman dan pulau-pulau seperti di Pengerang, Pontian, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Pagoh.

"Enam daripada telaga berkenaan berfungsi sebagai sumber dalam mencegah kebakaran tanah gambut yang biasanya mudah terbakar dan mempunyai tanaman nanas serta kelapa sawit. Tiga lagi dibina di Pulau Sibu, Pulau Pisang dan Kampung Sawah Laku, di Pagoh.

"Sebuah lagi juga untuk tujuan pertanian iaitu di Institusi Pertanian di Ayer Hitam, Kluang," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Air Bawah Tanah di Surau An-Nur Kampung Sawah Laku, Bukit Kepong, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang dan Timbalan Pengarah JMG Johor, Nizarulikram Abdul Rahim.

Katanya, setiap telaga menelan kos antara RM90,000 hingga RM200,000 bergantung kepada sumber air berkenaan yang kadang-kadang tidak memerlukan sistem penapisan kerana kandungannya sudah bersih secara semula jadi.

Beliau berkata, pembinaan telaga air bawah tanah itu dilakukan menerusi Program Pencegahan Kebakaran di Kawasan Tanah Gambut hasil usaha sama antara Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

Menurutnya, setiap telaga mampu mengeluarkan sehingga 40,000 gelen air sehari untuk kegunaan domestik dan secara keseluruhan JMG sudah membina 40 telaga air bawah tanah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Namun, tidak semua tempat boleh dibina telaga berkenaan kerana pembinaannya bergantung kepada keperluan berdasarkan penilaian yang dibuat beberapa agensi termasuklah Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM)," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, pembinaan telaga air sedalam 106 meter di kampung tersebut mampu memberi manfaat kepada 770 penduduk termasuk di sekitarnya seperti Maokil dan Bukit Kepong yang sering mengalami tekanan air rendah terutama ketika musim cuti sekolah atau perayaan.

Beliau berkata, projek pembinaan telaga itu yang bermula pada Jun tahun lalu dan siap bulan lalu dengan kos RM100,000 akan turut digunakan semasa musim banjir kerana musim tengkujuh yang sering mengakibatkan bekalan air terputus.

"Kita harap lebih banyak telaga akan dibina di negeri ini termasuk di kawasan pertanian kerana menjimatkan. Selain itu, kajian JMG mendapati air telaga yang dibina ini tidak tercemar kerana kualitinya diakui Kementerian Kesihatan dan boleh terus diminum," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20131203/wj_06/10-telaga-RM1-juta-dibina-cegah-kebakaran-kawasan-pertanian#ixzz2mNdqWSef 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment